Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2008



Bagi para arkeologi atau sejarawan, surat dan diari tentunya merupakan penemuan paling berharga, kukira. Sumber primer. Sumber utama sebagai bahan bukti terhadap segala perkembangan yang telah berlaku dalam kehidupan, tentang sesuatu peristiwa atau sejarah lampau.


Zaman dahulu kala, surat merupakan bahan perantaraan penting di antara seseorang di sini dengan seseorang yang lain di pihak sana. Malah pada masa kini juga kepentingan surat masih lagi tertonjol dengan kewujudan pejabat pos yang semakin cekap dan bersistematik dalam setiap penghantaran surat dan perkhidmatannya yang lain. Cuma penggunaan surat secara tidak formal dalam kalangan generasi hari ini, pada telahanku, semakin berkurangan. Yalah, dengan kecanggihan teknologi, dunia seolah dianggap tiada sempadan. Yakah tiada sempadan? Mmm…


Ya juga. Aku sendiri sudah langsung tidak menyentuh batang pena dan lembaran kertas untuk menulis surat. Sebetulnya langsung tidak pernah menulis surat sejak beberapa tahun ini. Berbeza dengan aku ketika di bangku sekolah rendah hingga sekolah menengah dahulu; hantu tulis surat! Aku gemar mengumpul surat pada masa lalu. Entah. Mungkin sebab pengaruh bahasa novel, aku jadi mengidam hendak menukil ayat-ayat indah yang merakam cerita kehidupan. Bercerita tentang pengalaman, tentang dunia… Lalu aku pun menujukan surat-suratku buat kakak-kakak angkat, adik-adik angkat, kawan-kawan dan juga bapa saudaraku yang ketika itu sedang mengikuti latihan polis di Pulapol. Paling seronok apabila menerima surat daripada Pak Cikku itu. Dia bercerita tentang kehidupan di kem Pulapol. Menjalani hidup sehari-hari dengan peraturan yang ketat dan berdisiplin tinggi. Surat yang ditulisnya pula panjang, jadi aku sangat gembira.


Aku sendiri gemar menulis surat dengan panjang dan bahasa yang indah. Sengaja aku ingin melatih diri menggunakan bahasa melalui surat. Pernah juga aku mempunyai seorang kenalan berbangsa Cina. Aku sudah lupa namanya. Aku yang mula-mula menulis surat padanya berdasarkan alamat dan gambarnya yang disiarkan dalam Majalah Dewan Siswa yang kulanggan saban bulan pada waktu itu. Seronok juga. Menurut gadis yang berasal dari Melaka itu, aku merupakan teman berbangsa Melayu yang pertama ingin berkenalan dengannya. Dia juga mengajarku bahasa Cina. Yang masih kuingat: Wo= Saya, ai= cinta, ni= awak, dan ni= awak, hao ma= apa khabar? Manisnya kenangan lalu. Tetapi kini semuanya sudah berakhir. Masing-masing tidak lagi berkirim surat. Semuanya dengan haluan sendiri. Sepi khabar berita. Surat-surat yang dahulunya kukumpul juga sudah dibakar oleh emak dan ayah. Sejak aku merantau ke negeri orang untuk belajar, surat-surat dan diari-diari lamaku langsung sudah tidak diurus dan dijaga dengan baik. Kata emak, ular bersarang. Sebab itu emak membakarnya. Huh, gerun juga!


Jika malas hendak menulis surat (walaupun boleh menulis melalui e-mel), jangan sia-siakan bakat berbahasa dengan langsung tidak menulis. Menulis itu perlu diasah. Perlu menulis walaupun tidak ada apa-apa untuk ditulis atau tidak tahu apa yang hendak ditulis. Bukan susah. Tulislah sahaja: “Aku tidak tahu apa yang hendak ditulis di sini. Cuma aku sengaja menulis kerana aku ingin membiasakan diriku menggunakan bahasa…” Lihat! Itukan sudah terjadi satu luahan hati yang menarik dengan bahasa yang baik? Jadi, tulislah diari jika bosan menulis surat. Diari itu bagiku suatu alat perakam riwayat dan sejarah hidupku. Siapa tahu, diari yang ditulis itu akan bertukar menjadi novel dengan sedikit pengolahan dan penambahbaikan pada suatu hari nanti?!


Jika benar-benar tidak mahu menulis, maka banyakkanlah membaca. Kerana membaca itu jambatan ilmu. Ia akan menambah pengetahuan dan pengalaman baru. Lama-kelamaan, tangan kita akan mula ‘gatal’ untuk menulis. Seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Beliau lebih banyak membaca daripada menulis, hingga akhirnya beliau akan mula ‘gatal’ tangan kerana tidak sabar-sabar hendak menulis.


Mm… Jadi, membaca dan menulislah!

Read Full Post »

Benarkah manusia kian hari kian kejam?


Lewat beberapa hari yang lalu, aku secara tidak sengaja menonton sebuah rakaman yang sedang ditonton oleh adikku di komputer. Aku tergamam. Rasa seriau membungkus diri kala melihat seorang gadis dipukul sebegitu teruk oleh berbelas-belas lelaki. Disepak, diterajang, dihenyak-henyak dan beberapa kali dihempap batu besar di kepala si gadis hingga mengalirkan darah pekat merah.


Ya Allah! Sungguh aku tidak mampu untuk terus melihat aksi tersebut. Binatangkah mereka atau apa? Tiada langsungkah secebis kasihan dan perikemanusiaan? Si gadis terus terkulai langsung tidak mampu melawan. Aku tidak dapat menahan sebak. Tubuhku sendiri terasa longlai dan lemah. Dan, ketika hendak tidur pada malam itu juga aku asyik ternampak bayangan tragedi tersebut.


Itu baru satu tragedi. Lebih banyak tragedi lain yang kita dengar lewat berita-berita di kaca televisyen, radio, internet dan sebagainya. Baru-baru ini juga berlaku satu kes bunuh melibatkan seorang bapa dan seorang anak lelakinya (jika tidak salah) dengan alasan lelaki yang dibunuh terbabit telah mengintip anak saudaranya yang sedang mandi. Perlukah dibunuh? Benarkah lelaki tersebut benar-benar mengintip? Jelaskah buktinya? Apa tidak tersalah orang? Menurut ibuku, lelaki yang dibunuh itu tidak dapat membela dirinya langsung, sedangkan cerita sebenarnya tidak diketahui dan diselidiki betul-betul. Begitulah masyarakat kita hari ini. Lebih menurut kata nafsu, sifat amarah dan ego. Jagoankah namanya begitu?

Entah apa sudah jadi dengan masyarakat ‘Negara Islam Hadhari’ hari ini? Hadhari sangatkah mereka hingga mengenepikan sifat kemanusiaan terhadap sesama insan? Di mana nilai kasih sayang, pertimbangan dan akal yang waras? Semua tindakan seperti menurut kata nafsu semata.

Siapa kita? Berhakkah kita menghilangkan nyawa seseorang bukan dengan izin-Nya? Apakah nyawa itu tiada nilai? Mengapa senang-senang kita menceraikan nyawa seseorang yang mungkin dirinya, hidupnya dan kudratnya masih amat diperlukan oleh insan-insan lain di bawah tanggungannya? Mengapa kita begitu kejam???????????????????!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Pilu seorang aku.

Read Full Post »

Pintalan Doa Buat Pengantin

(Dedikasi buat sahabat baikku, Basiroh Abd. Manas)

Detik ini

Kau persis bermimpi

Atas nama suratan

Membawamu ke gerbang penjodohan

Yang tak pernah kau khayalkan.

Saat ini

Kau bagai rama-rama cantik

Terapung-apung indah di udara

Sambil hinggap di kelopak bunga

Bagai di alam fantasi

Hakikatnya adalah dunia realiti.

Gemuruh di hati

Bukan mainan

Kau bakal disunting dari taman

Menjadi suri hidup bernama ‘isteri’

Buat menemani si jantung hati

Bergelar ‘suami.’

Ada air mata berkaca

Lewat berita yang kuterima

Ada rona bahagia

Mendengar tawamu ceria

Tiada hadiah istimewa

Melainkan hanya pintalan doa

Moga dikau dan si dia

Direstui Allah selamanya.

12 Mei 2008,

6.29 p.m.

Kuala Nerang

Read Full Post »

Read Full Post »

Dulu, sewaktu zaman awal remaja (kerana sekarang usiaku sudah menginjak permulaan alam dewasa), aku gemar menonton drama-drama bersiri Jepun. Dan, antara para pelakonnya yang masih segar di ingatanku adalah seperti Yutaka Takenouchi, Takuya Kimura, Takako Matsu, dan beberapa yang lain. Lucu juga mengenangkannya. Lain daripada itu, aku gemar meniru lukisan kartun-kartun Jepun bermata bulat dan cantik-cantik, seperti Sailormoon, Card Captor Sakura dan kartun-kartun lain. Dan, minatku sememangnya dapat dirumuskan sebagai ‘3 M’-Membaca, Menulis dan Melukis (bukan mengira, kerana aku sangat lemah dalam aspek itu, hingga boleh terketar-ketar dan trauma). Jadi, janganlah ada sesiapa yang mengimpikan aku untuk membantunya membuat kira-kira, hatta kira-kira yang amat mudah pun, aku mula berpeluh dingin. Sungguh! Aku juga takkan mengajar adikku bab-bab mengira. Oh, minta dijauhkan aku dari makhluk yang bernama ‘Matematik’ itu…

Sebenarnya aku mahu mengaitkan ‘barang-barang import’ dari Jepun itu dengan istilah ini- ‘haiku.’ Haiku. Apakah ia? Adakah ia merupakan nama bagi sebuah tempat di Jepun? Atau nama seorang tokoh berasal dari Jepun? Sebenarnya, aku sendiri baru menemui maksud ‘haiku.’ Bukankah aku ini orangnya suka menyelidiki? Begini, sebelum aku menjelaskan mengenai ‘haiku,’ aku sebenarnya telah terjumpa istilah ini, juga dari laman web ‘Taj Mahal Kata.’ Dan, aku baru mendapat jawapan mengapa ia dinamakan sebagai ‘Taj Mahal Kata.’ Sebabnya:

“Kau pinta ku bina sebuah tajmahal daripada patah-patah kata.” Ini kata-kata si suami.

Jadi menurutku, ia dinamakan ‘Taj Mahal Kata’ kerana si suami itu telah membina sebuah Taj Mahal daripada patah-patah perkataan yang puitis dan romantis buat si isteri tercinta atas permintaan si isteri sendiri. Mm, nanti aku juga ingin meminta suamiku agar membina untukku Buih-buih Kata Bosphorus, kerana aku sukakan Lautan Bosphorus di Turki. Mungkin mustahil untukku sampai menjejak tepian buih Bosphorus, tetapi memadai buatku dengan hanya dapat menikmati Buih-buih Kata Bosphorus. (Berangan!)

Berbalik kepada ‘haiku.’ Penulis bernama Irwan Abu Bakar yang merupakan si suami menulis begini:

Rindu Isteri

Jumpa isteri
sejak pagi kurindu
alam bernyanyi.

(Tak habis-habis kan tentang luahan romantis mereka berdua? Tapi aku sangat suka membaca ungkapan-ungkapan puitis begitu. Ia mengajarku lenggang-lenggok gaya bahasa yang bernada pelbagai.) Sebenarnya tiga baris kata-kata di ataslah yang dinamakan ‘haiku.’ Namun, secara lebih tepatnya, ‘haiku’ ialah sejenis puisi Jepun yang ditulis dalam tiga baris dengan tujuh belas suku kata, dan selalunya membicarakan tentang alam semula jadi (Kamus Dewan). Dan, cuba kira suku kata di atas. Ya, memang cukup dan tepat-tepat tujuh belas suku kata.

Puas hatiku puas setelah mengetahui tentang ‘haiku’ pula. Dulu, kenal cerpen dahulu (kerana suka baca buku cerita dan menulis cerita kanak-kanak pada usia 10 tahun), kemudian mula mengenal pantun, dalam setahun yang lalu pula mengenali sajak, dan terbaru ialah sajen dan ‘haiku.’ Untuk mengenal ‘haiku’ rupa-rupanya tak perlu ke Jepang…

Read Full Post »

Aku ingin bermain kata
Buat melakar rasa di sukma
Kerna bahasaku
Canggung melalui kata bersuara
Kaku dengan gerak bergaya.

Bahasaku
Girang berdansa di hati, ceria
Tidak diam berkata di sukma
Asyik bertingkah bermain irama
Tak sunyi tak lelah
Walau jasadku terasa lemah.

Bahasaku
Terus berkata-kata di hati
Tetap tiada siapa memahami
Kerana bahasaku
Tiada siapa dapat menerka.

2 Mei 2008,
10.08 a.m.
Perumahan Pantai Permai
(Tension study-exam)

Read Full Post »

Dulu, sebagai seorang yang agak suka ‘menyelidik’ (mungkin satu kebertuahan, kerana aku bakal seorang guru, dan guru itu antara tugasnya selain daripada mengajar ialah untuk melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan), aku kerap melayari internet untuk mencari sumber-sumber rujukan yang sukar kudapati daripada buku-buku. Dan, antara laman-laman maya yang kerap ku kunjungi ialah laman-laman sastera ala-ala puitis, termasuklah laman sifu tidak rasmiku; Faisal Tehrani (kerana pernah mengkritik karyaku), juga Zaid Akhtar, A. Ubaidillah Alias (kedua-duanya pernah memberi komen dan mengkritik karya-karyaku), laman-laman puisi seperti Nimoiz T.Y., dan lain-lain penulis atau pencinta sastera sejati.

Dan, pernah sekali aku terjumpa satu laman web (aku kira ia sebuah laman web) yang dinamakan ‘Taj Mahal Kata,’ di mana laman ini sebenarnya memaparkan nukilan-nukilan seorang penulis yang bergelar ‘suami’ kepada seorang penulis lain bergelar ‘isteri.’ Laman tersebut dibina untuk merakamkan rasa kasih sayang dan penghargaan seorang suami (penulis bernama Irwan Abu Bakar) terhadap isterinya tercinta; Hasimah Harun. Kebanyakan karya yang dimuatkan adalah dalam bentuk sajak, pantun dan syair yang menarik.

Kemudian, aku tiba-tiba tertarik pada beberapa rangkap kata dinamakan ‘sajen’ berbunyi begini:

Makin Birthday Makin Muda
(Happy Birthday Drirwan)

“Abe… Abe…
tulong ajar adik lukis bule, lukis bite
adik nok hantar kepada oghe
yang kucintai.”

“Kucing taik?”

“Hihihi… dok eh,
nok hantar untuk oghe
yang adik saye
siye male terbaye-baye.”

“Nenek kebayan?”

“Hihihi… dok eh
kkecek standardlah, mudoh sikit
Adik dedikasikan hati dan perasaan
bulan dan bintang
buatnya yang tersayang
siang malam terbayang-bayang
dan yang kucintai itu
tidak lain dan tidak bersalahan lagi
abanglah jantung
abanglah gunung
kad mahu kuutus
sempena hari jadi.”

“Hihihi… cair hati abang mendengar penjelasan
hari ini 11 Mei, hari jadi abang
kad ini, UNTUK ABANG?!!!”

“Abe… happy birthday ke-53? 35?”

“35… baru 35. Umur Abe undur ke belake.”

“Eh, Abe kkecek Kelate?”

“Hihihi… abang berjiwang ditindih perasaan.”

Setelah membaca rangkap-rangkap ‘sajen’ yang ditulis oleh si isteri sempena hari jadi suaminya itu, aku asyik terfikir. Adakah itu sajak? Kenapa dinamakan ‘sajen’? Mungkin ya, ianya sajak, cuma ia menggunakan bahasa dialek. Mungkin kelihatannya langsung tidak formal dengan tidak menggunakan bahasa baku, dan aku sendiri tidak tahu apakah sajak begini boleh diterima sebagai sajak, atau sajak itu hanya boleh dikatakan ‘sajak’ apabila menggunakan bahasa baku? Entahlah. Aku sendiri baru menjinakkan diri dan sedang belajar-belajar menulis sajak, jadi pengetahuanku tentangnya masih kurang.

Sebenarnya, aspek yang sangat menarik perhatianku pada sajak tersebut kerana ia sangat melucukan. Aku belum pernah membaca sajak-sajak bernada lucu melainkan pantun. Kemudian, aku terbaca pula tentang ‘Tujuh Rangkap Sajen Cinta’ karya Nimoiz T.Y. berbunyi begini:

Cinta itu sebenarnya buta
sebab cinta tak pakai cermin mata.
Cinta itu hembusan bayu pagi
masih kemaruk walaupun si dia tiada gigi.
Cinta itu bersulam naluri
kata ‘engineer’ tapi sebetulnya drebar lori.
Cinta itu mencantum dua hati
kerana cinta ‘save budget’ makan roti.
Cinta itu tertanam dalam batin
putus cinta sanggup makan berlauk sardin.
Cinta itu siang malam merindu
tiada sardin makan nasi dengan budu.
Cinta itu adalah sajen
kerana cinta penyajak menjadi penyajen.

Aku mulalah tak boleh ‘duduk diam’ apabila terbaca istilah ‘sajen’ yang tidak aku ketahui maksudnya. Semangat inkuiriku sangat tinggi untuk mengetahui setiap makna bagi sesuatu istilah baru atau istilah yang belum pernah ku temui. Tangan mula ‘gatal’ hendak mencari apa yang dimaksudkan dengan ‘sajen’? Akhirnya, aku terjumpa penerangan mengenainya, juga dalam laman web Nimoiz T.Y.

“Jika kali pertama anda mendengar perkataan sajen sekaligus sudah merasakan kelucuan cara menyebutnya, tahniah sekali lagi kerana anda semakin hampir dengan dunia kepenyajenan. Dunia yang agak unik dan kompleks. Dunia yang penuh dengan kegirangan, warna-warni, kelucuan dan gelak tawa.” Begitu menurut Nimoiz sebagai mukadimah penerangannya.

Aku terus membaca penerangan tentangnya dengan penuh minat. Ya, akhirnya aku dapat tahu apa itu ‘sajen.’ Sajen itu sebenarnya terdiri daripada akronim dua perkataan, iaitu ‘sajak’ dan ‘jenaka.’ Jadi, secara mudahnya, ‘sajen’ itu ialah sajak jenaka, ataupun sajak yang berunsur jenaka. Jika menurut penerangan yang diberikan oleh Nimoiz, ia berbunyi begini:

“……….Konotasi diksi-diksi biasa yang kadang-kadang menjengah ke galur puitis dan gramatis, kadang-kadang juga dalam bentuk satira, naratif atau erotik, yang tujuannya adalah untuk menghasilkan suasana lawak dan ceria, lucu, tidak membosankan serta menggelikan hati sehingga boleh menyebabkan pembaca atau pendengar tidak kering gusi……….”

Begitulah. Akhirnya aku dapat memahami serba sedikit tentang sajen yang sebenarnya masih agak baru dari segi perkataan dan maksud. Cuma, aku masih belum berkesempatan untuk cuba menghasilkannya. Kerana bukankah dengan cuba-cuba itu akan menjadi satu kebiasaan yang akhirnya menghasilkan kemahiran?

Read Full Post »