Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for September 2008

Mengapa Harus Kau Pergi

(Dedikasi buat Dr. Habib Mat Som)

Mengapa harus kau pergi
Meninggalkan kami di baruh ini
Terkontang-kanting meniti permatang
Dengan sebuah jamung kau terangi
Buat siaga di malam hari?

Kau biarkan kami
Menggerayang di tanah ini
Memugar kebun ilmu
Menarah tunggul-tunggul bergerigis
Dengan sebilah beliung wasiat
Yang kau sematkan
Di dada-dada kami
Pada suatu waktu.

Adakala kami terjelapak
Tertadung bonggol berbongkah
Hingga kaki-kaki kami berdarah
Diusik si gergap yang bergericauan
Hingga kami berpeluk-pelukan
Menangisi nasib
Setelah kau tinggalkan.

Tetaplah kami di baruh ini
Mengusahakan sebuah ladang
Dengan seperca kekuatan
Dan sejuring rindu buatmu
Hanyalah wasiatmu yang kami tatap
Dan terus kami syukuri.

14 September 2008,
12.38 p.m.

Advertisements

Read Full Post »

Terima Kasih, Tuan

(Dedikasi buat prof. dr. ahmad thib raya)

Tuan,
Jauhnya perjalanan
Berliku kau tempuhi
Ribuan batu kau langkaui
Samudera luas tiada bertepi
Oh tuan
Besar juangmu ke mari.

Tuan,
Tiada bingkisan mampu kulakar
Tiada kalungan mampu kuuntai
Buat mengukir batu penghargaan
Atas juangmu ke mari
Melimpahkan cahaya di dada kami.

Tuan,
Sebaris doa kami titipkan:
Moga usiamu Tuhan lanjutkan
Kesihatanmu kekal bermekaran
Ilmumu subur tambah menyuburkan!

Terima kasih, tuan
Mencurah bakti
Buat anak-anak di sini-Bumi Malaysia.

11 September 2008,
7.27 p.m.,
Perumahan Pantai Permai.

Read Full Post »