Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Kenangan’ Category

Masih jelas di ingatan bagaimana tiga hari sebelum ke Sri Damansara baru-baru ini, iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Disember 2009, sambil ‘mengheret’ seorang adikku, kami berjaya tiba di sebuah kem di Hulu Langat, diberi nama Kem Impian Rimba Resort. Kedengaran pelbagai irama alunan alam menyambut kami – air sungai yang mengalir, decit sang beburung dan dedaunan berkesiuran. Subhanalllah, indahnya! Rasa tenang menyelinap di perdu hati. Sudah lama tidak ‘bercuti’ begini.

(selanjutnya…)

Read Full Post »

Rentet KEPEZI-3 2009

Seusai subuh, mencicip Indocafe yang dibauri krimer putih mulus (juga Indocafe – aku tak akan mempromosikan ‘Nescafe’ di sini) dengan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang masih belum kukhatam (terlalu berat untuk meninggalkan karya agung itu!), memikirkan sebelum hari berengsot ke hari depan, sebelum semakin luput dan lapuk cerita dek kulat (mungkin sudah sedikit ‘lemau’), maka aku cuba perturunkan seperti biasa – rentet peristiwa yang telah kuanyam di mandala fikirku menjadi sebuah sejarah – dalam hidupku sendiri.

Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Sekian lama aku mengidam untuk menjadi ahlinya. Aku mula mengenali sebaris akronim itu lantaran seorang penulis yang sedang mencanak naik namanya – Azman Ahmad atau Azman al-Kurauwi, atau juga Ibnu Ahmad al-Kurauwi, mencadangkanku untuk menyertai bengkel yang diadakan oleh kelab itu setelah kataku – terkilan tidak dapat sertai Minggu Penulis Remaja (MPR). Usia sudah tidak melayakkan diri untuk menjadi ahlinya. Dan balasnya; dia lebih terkilan! Setelah itu. langsung dianjurkan supaya aku menghubungi Bonda Zaharah Nawawi, bertanyakan tentang bengkel KEPEZI yang akan diadakan dalam masa terdekat. Di sinilah bermula titiknya…

Lingkungan jam 7.40 pagi tanggal 1 Ogos 2009, bersamaan hari Sabtu, aku menahan teksi di hadapan kediamanku. Wajah pagi yang lengang. Kenderaan tidak bersusup-sasap seperti lazimnya pada hari bekerja. Aku tersenyum puas. Tidaklah nanti teksi tersemput-semput di jalanan, dan duit tidak terlalu luak lantaran bacaan pada meter yang sering ‘menggigit-gigit’. Kebetulan, tanggal itu juga harga tambang teksi telah naik RM 1, menjadikan bayaran RM 3 sebaik-baik pintu teksi dibuka. Nasib badanlah! Semuanya naik sekarang ini. Yang tidak naik-naik – aku! (^^,)

Di dalam perut teksi berona kuning jagung, aku mengeluarkan sebuah buku catatan kecil dan tangan lincah menggores halamannya dengan maklumat ringkas. Terasa begitu sekejap, tiba-tiba teksi berhenti. “DBP kan? Dah sampai!” Begitu katanya. Terlalu cepat. Aku kira, pemandu itu menggunakan jalan pintas. Tambang teksi kubayar. RM 6.50 dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja.

Wah, sekali lagi kakiku menjejak ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tersergam megah! Tidak jauh dari situ ialah Rumah PUSPANITA yang mengikut perancangan asalku mahu menginap di situ sahaja sepanjang bengkel berlangsung, tetapi malang. Bilik sudah penuh. Jadi, berulang-aliklah seorang aku, sendirian. Mujur dekat. Karib.

Aku duduk di bangku hadapan bangunan DBP dengan hati menyumpah seranah kepada ‘sesuatu’. Ada peristiwa tidak enak. Eeeee…….!!! Hari yang sepatutnya ceria dan bahagia, tiba-tiba terpalit rasa yang sungguh menjengkelkan! Sabarlah, hati. Sabarlah!

Aku kirimi SMS kepada seorang adik, juga peserta bengkel itu. Memaklumkan yang aku sudah tiba. Dia masih di jalanan. Lambat, katanya. Terlalu banyak sekatan oleh polis – gara-gara demonstrasi memansuhkan ISA bakal diadakan pada petang hari.

Aku mendaki tangga bangunan. Tiba-tiba sepasang mataku tertancap ke arah seraut wajah. Spontan, meletus sebuah nama dari bibir: Kak Zuraima! Dia tersenyum, seolah-olah sudah dapat mengagak siapakah empunya badan di hadapannya. Kami bersalaman. Bertanya khabar. Dia turut perkenalkanku kepada seorang wanita bercermin mata di sisinya – Kak Najibah. Ketika tengah berbual mesra, sekonyong-konyong, dua orang wanita yang agak berusia datang menyapa kami. Salah seorangnya bercermin mata dan memiliki iras peranakan Cina, tetapi menutup aurat sempurna. Dia bertanya kami; peserta bengkel KEPEZIkah? Kami angguk. Dia menghulurkan salam. “Saya Safura… Soo Cham.” Aku diam sahaja. Kenapa seperti biasa mendengar sebaris nama itu? Soo Cham. Ingatan itu pun datang. Oh, Soo Cham. Dialah penulis yang pernah kubaca cerpennya dalam sebuah antologi milikku. Sangkaku lelaki. Dan Cina. Tetapi apakah dia sememangnya Cina? Entah.

Kira-kira jam 8.20, aku tidak lagi menunggu adikku yang periang itu – Nuraini. Hati gelisah, katanya. Masih jauh dari DBP. Hai, polis! Kenapalah begitu menyusahkan? Bukanlah ada rusuhan pun. Kecoh betul!

Aku menaiki lif. Mahu ke Dewan Kuliah di tingkat 4. Tetapi tersalah laluan pula. Aku ke kafe yang suram dan tiada sesiapa kecuali seorang pengawal keselamatan yang sedang enak menikmati sarapannya. Begitu telahku. Aku pun bertanya maklumat sebenar untuk ke Dewan Kuliah tersebut kepadanya. Aku turun semula ke aras bawah, dan menaiki eskalator ke tingkat 4. Hairan aku, dan kagum! Jarang sekali sebuah institusi begini mempunyai eskalator. Yang sering dilihat ialah di kompleks membeli-belah. Atau aku sendiri yang tidak cakna?

Akhirnya, tiba juga di tingkat 4. Beberapa buah meja bulat sebesar meja makan kelihatan tersusun rapi. Aku terus ke meja pendaftaran. Diberikan sebuah cerpen berjudul ‘Sehampar Ambal Alas Kasih.’ Karya Kak Najibah. Wah, membaca judulnya sahaja sudah memikat hati! Rupa-rupanya setiap peserta diberikan cerpen tersebut. Agaknya, ini cerpen terbaik? Mungkin.


Kira-kira jam 8.30 pagi, setelah adikku yang periang itu tiba, dan setelah diberikan sebuah beg kertas yang mengandungi berbelas-belas cerpen karya peserta, kami diarahkan oleh Bonda Zaharah supaya lekas masuk ke dalam Dewan Kuliah. Dewan itu sememangnya seperti dewan kuliah di universitiku, atau setepatnya di kampusku – mencuram ke bawah. Cuma ia tidak punya pentas, sekadar rostrum kecil milik DBP. Setiap peserta ditempatkan dengan dua buah kerusi empuk berwarna hijau lumut. Setiap sebuah kerusi mempunyai tanda nama masing-masing, dan kami tidak dibenarkan menempati kerusi bernama itu, sebaliknya kerusi di sebelahnya – untuk memudahkan pembimbing melihat dan membaca nama kami. Hatiku mula dihinggap gemuruh. Aku duduk berhampiran dengan Kak Hasnah di sebelah kiriku dan Kak Kasmahwali @ Kasmahwati. Turut menjadi peserta bengkel ialah penulis yang sedang menempa nama – Rebecca Ilham dan Hani Salwah. Sebaris nama yang sering kubaca tulisannya di Majalah Anis suatu ketika dahulu – Zakaria Sungib, turut menjadi peserta. Seronok juga dapat berkenalan dengan para peserta daripada pelbagai latar belakang. Ada jurutera, pensyarah, guru, penulis lirik lagu, editor, tukang jahit sepenuh masa, suri rumah dan pelajar. Tidak kusangka pula, aku di antara yang termuda di situ, setelah Aini dan Shahkang. Sering sahaja merasa diri tua… (^^,)

Pada awal sesi lagi, Bonda Zaharah telah melahirkan hasratnya. “Kalau boleh, Bonda nak semua di hadapan Bonda ni ‘meletup’. Bukan seorang dua sahaja.” Aku mengunyah kata-kata itu. Lumat, dan kutelan. Mampukah aku?

Sepanjang sesi pada hari itu, terlalu banyak perkara yang telah kuperolehi, dan cepat-cepat kusimpan ke dalam saku hati. Tidak mahu hilang dan tercicir. Bengkel rasmi pertama yang kusertai ini (setelah bengkel penulisan tidak formal oleh A. Ubaidillah Alias di Nilam Puri dahulu), aku mahu manfaatkan sebaiknya. Ada azam yang terlalu marak dalam dada. Kobaran apinya tidak pernah mahu padam!

Sesuatu yang akan kuingat sampai bila-bila ialah: ‘Ter’ adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Ujaran Bonda Zaharah ini akhirnya difahami dan melekat dalam minda setiap peserta, hatta dalam percakapan langsung. Menurut Dr. Mawar Shafei yang turut menjadi pembimbing sepanjang 2 hari itu, ‘Mereka yang memulakan kerja penulisan dengan puisi adalah suatu kekuatan. Diksi yang digunakan sangat terpilih dan disaring.’

Ketika mahu minum pagi sekitar jam 10, tiba-tiba Dr. Mawar menyapaku, bertanya apakah dia pernah mengkritik karyaku di Majalah Dewan Siswa sebelum ini? Jawabku: Tidak. Hanya Faisal Tehrani. Kenapalah agaknya Dr. Mawar menyoal begitu?

Sesi seterusnya, Bonda Zaharah berpesan supaya tidak diletakkan terlalu banyak watak di dalam sesebuah cerpen. Paling maksima mungkin sekadar empat watak. Juga katanya: ‘Jika melihat sesuatu dari alam, angkatlah ia menjadi falsafah ke dalam karya.’ Aku suka ini. Bonda Zaharah memetik kata-kata Dr. Anis: “Falsafah sangat dekat dengan kita. Seperti bibir atas dengan hidung.” Dekat apa tidak?

Hampir ke pukul 12.30 tengah hari, sesi membaca cerpen dimulakan. Kak Najibah sebagai pemula. Karya Kak Najibah sungguh indah. Jalinan ceritanya agak bagus, dan aku tertarik pada gubahan ayatnya yang puitis! Tetapi, semua peserta tidak akan terlepas daripada ‘cengkaman’ dan ‘cekikan’ Bonda Zaharah. Atau bedilan mortarnya yang pasti meletupkan hati! (^^,) Penghawa dingin yang semakin sejuk tambah menggetarkan sukma yang sedia tergoncang di dalam cangkirnya. Penuh debaran menanti giliran membaca cerpen, kemudian ‘diletupkan’! Aduhai, sebegitu terukkah? (^^,) Ya, gelaran Bonda Zaharah sebagai ‘penyembelih’ sudah pasti menakutkan. Tetapi aku tidak pasti sejauh manakah ketajaman mata pedangnya itu akan memenggal leherku. Moga-moga pedangnya itu benar-benar tajam supaya tidaklah terasa begitu sakit. Jika tumpul…?

Karyaku tidak sempat dibaca pada hari itu. Berbaki 8 karya. Bengkel ditangguhkan kepada keesokan hari.

Aku tiba di rumah sekitar jam 9 malam, setelah ‘kembara’ malam menghayun langkah di bandar raya Kuala Lumpur. Malam itu juga, aku mengalami suatu keadaan yang sedikit menyeramkan. Di Menara MAA Assurance, ketika aku mencari-cari suaru di aras P3. Berhampiran dengan parkiran yang sunyi dan membahayakan bagi seorang gadis. Demi untuk bersolat, maka aku tepis segala gundah dan gusar yang menyewah. Cerita di sebalik malam itu, biarlah hanya tersimpan di lipatan hatiku. Terlalu panjang untuk dikongsi bersama.

2 Ogos. Sebuah teksi merah saga kutahan. Sebaik menghenyak di atas kusyen belakang kenderaan tersebut, pemandu itu tiba-tiba membebel. Marah. Tetapi bukanlah kepadaku, sebaliknya kepada seorang penumpang teksinya kelmarin, yang mempersoalkan harga tambang yang mahal, gara-gara tidak tahu tentang kenaikan RM 1 bagi tambang teksi. Aku hanya sesekali menyampuk. Membiarkan pemandu itu melepaskan amarahnya. Jalan sesak, tetapi bukan disebabkan kenderaan yang banyak, tetapi oleh blok-blok merah yang diletakkan di sepanjang jalan ke DBP. Mungkin mahu melebarkan jalan.

8.10 pagi, aku tiba. Aku tidak terus masuk ke dalam perut bangunan, sebaliknya duduk di bangku luar mencatat sesuatu di dalam buku kecil. Baru menulis sepatah dua, tiba-tiba terpandangkan Bonda Zaharah. Dia juga terlihatku. Segera digesanya supaya aku lekas-lekas naik ke tingkat 4, sudah ramai yang datang, katanya. Aku akur. Dan dia memintaku supaya tolong membawakan beg hitam dan seplastik minuman kopinya bersama-sama.

Sememangnya sudah ramai yang tiba, tetapi tidak seorang pun yang memasuki dewan. Mereka sedang menikmati sarapan. Disebabkan telah mengisi perut, aku terus sahaja memasuki dewan, dan melakukan aktiviti sendiri-sendiri. Mentang-mentang tiada sesiapa. Lama juga aku bersendirian. Sesi pada hari itu dimulakan agak lewat daripada waktu yang telah ditetapkan di dalam tentatif. Sebaik-baik sesi bermula, acara baca cerpen terus disambung. Bimbang jika tidak sempat dihabiskan kesemuanya.

Jam 11.35 pagi, acara membaca cerpen ditangguh sebentar. Memberi laluan kepada sesi bersama Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, yang mengendalikan ruangan Sastera Budaya setiap Ahad – Ku Seman Ku Hussein. Sedikit sebanyak pendedahan diberikan tentang karya yang bagaimana seharusnya dihantar ke kolum tersebut. Kolum yang sering dianggap ‘kebal’ untuk ditembusi.

Majlis berhenti rehat. Makan tengah hari dan solat Zohor.

Cerpen ‘Kerana Aku…’ karya Kak Norazimah dibaca. Sebuah karya yang menyentuh hati, sehingga Kak Nora sendiri tidak dapat meneruskan pembacaan, lalu dengan sukarela disambung oleh Kak Dil Froz. Juga sebak, tidak dapat meneruskan, dan terus disambung oleh Dr. Mawar sehingga usai. Sebuah cerpen yang dibaca oleh 3 orang.

Tidak larat pula mahu cerita. Langsung sahajalah kepada giliranku. Giliranku antara yang paling akhir juga, selain cerpen Nuraini yang benar-benar penamat. Aku sememangnya sudah bersedia dengan hati yang terbuka untuk mendengar kritikan terhadap karyaku itu. Kelemahannya sudah pula kutahu sebelum datang ke sini lagi, dan semua yang diperkatakan, majoritinya telah kujangka. Tetapi wajah tetap memerah, telinga tetap berdesing, dan hati tetap tertembak sekalipun telah kuhadangi dengan sebuah perisai. Aduh, aduh! Mujurlah aku bukan seorang yang terlalu perasa dan makan hati. Dalam waktu yang sekejap, perasaanku yang bergalau sebelumnya sudah kembali tenang.

Majlis ditamatkan dengan pemberian sijil yang disampaikan oleh Bonda Zaharah sendiri. Secara rasmi, aku kini menjadi ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Alhamdulillah, cita-cita pertama sudah berjaya kugapai. Langkah seterusnya…?

Read Full Post »

Ini Cikgu Saya!

Kira-kira jam 3.30 petang, saya tiba di sekolah. Sekolah lama yang sudah bertahun tidak dijengah. Bukan melupakan, bahkan wajah dan nadinya sentiasa hidup dalam desah nafas dan darah saya. Cuma kerana malas dan malu tak bertempat, sering saya tidak ikut serta dalam perjumpaan-perjumpaan bekas pelajar yang diadakan, meskipun ketika tahun-tahun awal berada di alam kampus, saya selalu menziarahi guru-guru di sekolah. Hendak kata teruk atau ‘kacang lupakan kulit’ pun boleh juga. Terserah. Tetapi saya tahu hati saya.

Saya kirimi sebuah SMS. “Cikgu, saya dah sampai.”

“Tunggu. Cikgu masih di rumah.” Jawapan balas daripada cikgu yang selamanya akan di hati dan jiwa saya-Cikgu Sharifah Zainon! Sehingga bila-bila, saya akan tetap mengingatinya sebagai guru Bahasa Melayu yang pernah melorongi dan mendorong saya ke ‘jalan ini’.

Saya memerhatikan khemah-khemah yang didirikan di hadapan bangunan sekolah. Di penjuru kiri dan kanan bangunan terdapat penjaja-penjaja menjual makanan ringan, juga pakaian. Tetapi tidaklah ramai. Saya membandingkan keadaan itu dengan kondisi zaman persekolahan saya suatu waktu dulu meriah dengan kunjungan orang ramai dan penjaja-penjaja yang setia menjual sehingga ke malam hari. Hari Ihtifal (perayaan ulang tahun sekolah) musim ini tidak serupa lagi dengan musim-musim yang telah berlalu. Sewaktu zaman saya masih comot dengan baju kurung putih dan berkain hijau, malah dengan cermin mata pula (betul-betul seperti ulat buku), saya merasakan itulah di antara zaman-zaman kegemilangan sekolah, sama ada dari aspek pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, malah akhlak juga. Tidak seperti sekarang. Inilah realiti yang harus saya terima.

Cikgu belum datang. Suasana lengang. Saya kematian punca. Khemah-khemah hanya dihuni oleh kerusi-kerusi kosong. Saya ke bilik guru, sengaja mahu melihat kalau-kalau ada guru yang masih belum pulang. Tiada. Saya mengambil keputusan untuk menemani kerusi-kerusi kosong di bawah khemah. Memerhatikan pentas yang dibina khas untuk majlis penutup ihtifal dan anugerah pelajar cemerlang, saya kembali menyulam kenangan di kanvas memori. Suatu waktu dulu, saya juga pernah beberapa kali menaiki pentas itu sambil diperhatikan oleh emak dan ayah. Malah, pernah sekali bersama-sama emak mengambil hadiah. Indahnya kenangan!

Di pentas seperti itu jugalah dahulunya berlaku pelbagai peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Mengambil hadiah daripada tangan ‘seseorang’ (kerana ketika itu saya tidak tahu bahawa saya dapat tempat ketiga kategori terjemahan bahasa Arab. Kemudian terpaksa berlari-lari anak ke pentas) sambil direnung cemburu oleh ‘seseorang’. Sungguh lucu!

Saya teringat pula kepada teman-teman sekelas ketika itu. Antara yang memberi kesan besar dalam hidup saya ialah Rosmariati, Norshuhadah, Norliza, Siti Zaleha, Basiroh, Nurul Shahida, Suriani, Aniza, Sopiah dan teman-teman perempuan lain (sengaja menyebutkan) seperti Rashida, Suryati, Solehah, dan ramai lagi. Teman-teman sekelas lelaki pula amat ‘takut’ mahu menyapa saya, apatah lagi mahu rapat. Namun, yang turut mempengaruhi hidup saya ketika itu (dengan berkata jujur) ialah jejaka berwajah ala-ala Cina (Chinese look), iaitu Jamaludin, Safuan Fatih, Yusri, Shahril, Afwan dan Hafiz. Tetapi sekarang, yang mungkin baik (meskipun jarang sekali berhubung) dengan saya ialah Yusri sahaja. Apa cerita kalian selain daripada Wan Rahim yang baru bergelar ‘suami’?

Kenangan saya terhempas ke lantai hakikat.

“Cikgu sudah sampai. Datanglah ke pejabat!” Saya membaca SMS yang cikgu kirimkan. Ketika itu, saya sedang rancak berbual dengan seorang adik lelaki, bekas pelajar sekolah itu juga. Kami bubar.

Berjalanlah seorang saya ke pejabat sekolah. Melihat ada sepasang kasut. Menjenguk ke dalam, tiada sesiapa. Salam saya hulurkan. Ada sahutan kecil dari dalam bilik Penolong Kanan. Dan tiba-tiba, cikgu keluar dari bilik itu. Senyuman manis terpamer.

“Cikgu!”

Kami bersalaman dan berpelukan. Pertemuan ini sememangnya kami rancang, tetapi tidak akan terjadi juga tanpa keizinan daripada-Nya. Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah lebih hebat!

Mulailah kami berbual panjang. Menyentuh seputar sekolah, rakan-rakan lama, guru-guru, pencapaian sekolah, masalah sekolah, sastera novel picisan, novel popular, novel berbudaya tinggi, puisi dan sebagainya, sehingga tidak sedar jam hampir ke pukul 5 petang. Emak kirimi SMS, bertanya; Sudah selesai?

Telefon bimbit bernyanyi nyaring. Ayah menelefon. “Sudah siap?” Dan saya mengiyakan. ‘Anak ini’, entah sampai bila mahu berkepit di bawah ketiak emak dan ayah?

Cikgu mengajak saya keluar melihat gerai-gerai jualan di hadapan sekolah sementara menanti ketibaan ayah.

“Ju minum air ais?” Soal cikgu.

“Minum! Saya bukan nak deklamasi puisi. Hehe.” Dan kami ketawa bersama.

Cikgu belanja saya minum. Air lengkong. Itu bahasa di sini. Jika bahasa standard air bandung cincau, mungkin. Dan kami menikmati air sambil mengopek kulit kacang rebus di bawah khemah. Tidak lama kemudian, ayah tiba.

Saya dan cikgu berpelukan, dan kemudian kami berpisah. Entah bila akan saya jejak lagi ke sekolah ini? Sedikit terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan guru-guru saya yang lain Ustaz Rejab, Ustazah Ramlah, Cikgu Ali, dan….. Saya sendiri tidak tahu apakah guru-guru yang pernah mencurah ilmu kepada saya suatu ketika dulu masih mengajar di situ. Cuma, jasa mereka akan saya kenang selagi jantung ini masih berdetak!

Read Full Post »

“Kami sering menyanyi bersama lagu “Dalam Kenangan”, suara halus akan tertebar ke seluruh langit, dibawa angin menderu ke bawah bukit, lalu hilang ditelan tanah-tanih subur di bawah sana. Kemudian puncak bukit disirami hujan. Gerimis yang berderai halus menjadi curahan lebat. Kami semua berteduh di bawah bangsal kecil. Seorang akan mengaku menjadi pelangi. “Selepas hujan teduh, pelangi akan bersinar untuk kamu, Salsabila.” Seorang lagi akan lebih mengusik, “Tetapi setelah hujan teduh, pelangi akan muncul lalu mesti ada matahari, dan akulah matahari untuk kamu.” – Petikan daripada Novel Tunggu Teduh Dahulu, karya Faisal Tehrani.

Mendengar halwa telinga ‘Dalam Kenangan’ dendangan Kumpulan Wheels, mengorakkan mindaku untuk mencantum semula cebis-cebis kenangan bersama teman-teman yang semakin ‘pergi’ meninggalkanku. Menyandang gelar mahasiswa tahun akhir merupakan tanda aras bahawa aku dan teman-teman sekursus menjadi pelajar Ijazah Sarjana Muda paling tua. Ditinggalkan teman-teman; jiran-jiran dari kursus lain yang mengikuti Sistem Pengajian Tiga Tahun (SPTT), sementara aku dan teman-teman sekursus terpilih ke Sistem Pengajian Empat Tahun (SPET).

Hakikatnya, terlalu banyak kenangan bersama kalian yang jika aku titipkan di sini, hanya membuatkan hatiku sebak. Diamnya aku bukan bermakna aku pergi. Bukan jua aku lari. Di hatiku, kalian masih teman-teman yang aku akui dunia dan akhirat. Teman yang benar.

Aku masih di jalan ini. Sehingga ke titik akhir hayatku.

Khas untuk kalian yang aku cinta selalu, dari dasar hati paling dalam, halwa telinga yang digilai oleh Salsabila Fahim, Kamil dan Lam Ping Hai dalam Novel Tunggu Teduh Dulu− Dalam Kenangan. Lagu ini merupakan kiriman seorang adik untukku ketika pertelingkahan kecil dengannya berkenaan beberapa metafora alam, dan katanya; ini bukan perdebatan antara Kamil dan Lam Ping Hai yang mahu menjadi pelangi dan mentari.

Dan lagu ini juga bukan untuk mengenang watak-watak tersebut, tetapi sebagai rasa penghargaanku memiliki sahabat dan teman seperti kalian yang sentiasa cuba membimbing, dengan menggalas payah dan mengendong sabar. Terima kasih!

Dalam Kenangan

Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendiri.

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan.

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan.

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu Teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan.

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya kan abadi dalam kenangan.
-Kumpulan Wheels

Read Full Post »