Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘luahan Rasa’ Category

Tekanan Yang Memaknakan

Jikalah aku seorang ‘pemakan’ apabila ditindih tekanan, pasti aku tidak akan dilihat sebagai remaja usia 16. Oleh kerana aku bukan ‘pemakan’ dalam iklim tekanan, aku dipandang sebagai bocah kecil belasan tahun (wau!). Dan, lantaran aku bukan seorang ‘pemakan’, jari-jemarikulah yang akan berperanan; menari-nari di atas papan kekunci, seumpama bocah angon dengan kambing-kambing atau lembu-lembunya, menari-nari di atas padang rumput hijau di pergunungan sejuk…

(selanjutnya…)

Advertisements

Read Full Post »

Menanti Hujan

Petang yang bahang.

Aku mendongak langit, mencari hujan. Ah, langit masih cerah, sekalipun guruh melaung sesekali. Awan perak kemilau di lengkung langit, petanda harapan kian suram.

Aku masih tetap menanti hujan.

Datanglah hujan, siramilah tanah hati ini.

Datanglah hujan, hanyutkan danur yang bersalut pada diri ini.

Datanglah hujan, aku menantimu, agar rintik-rintik dinginmu mampu mengusap rasa hati ini.

Datanglah hujan…!

Read Full Post »

Sebuah Sore

Sore. Gemilang sinar mentari saat ini menceriakan wajah bumi tentunya. Seringnya, petang-petang begini, di daerah sunyi tetapi hingar, indah tetapi hodoh, bersih tetapi kotor ini, awan mencurahkan air mata ke bumi. Entahkan tangisan duka, atau keharuan ria.

Biarpun awan menangis, saya tidak dapat untuk memberi perhatian. Maafkan saya, awan!  Saya terlalu sibuk. Sibuk yang sengaja ‘dicari’.

Dalam beberapa waktu ini, banyak hal yang begitu menuntut rasa dan masa. Saya terpaksa berkejar ke hulu ke hilir, juga mengurung diri daripada dunia luar. Segala yang wujud di sekitar, saya ketepikan dahulu. Saya terpaksa pejamkan mata buat sementara.

Banyak yang saya miliki, tidak saya uruskan dengan baik, termasuklah teratak maya kesayangan saya ini.

Bagi saudara-saudara yang mengirim e-mel atau komentar di teratak saya ini, telah pun saya baca dalam waktu yang begitu mengekang. Setiap komentar tidak sempat untuk di’approve.’ Juga tidak berbalas! Maafkan saya, saya ‘tidak sengaja’.

Kepada yang sudah mendapatkan ‘buku kecil’ saya ‘Kumpulan Cerpen Tawajuh Cinta’, terima kasih! Terima kasih kerana sudi mengeluarkan wang untuk membeli karya kecil saya itu. Saya sangat menghargai segala usaha anda untuk memilikinya. (Kepada A, Muziru Idham: Maafkan kakak lantaran terlalu lama membiarkannya di ‘sangkar burung’ itu!)

Senja menjengul. Matahari sudah mahu menghulur salam pamitan. Saya tidak mahu ketinggalan, ingin mengejar mimpi di angin waktu yang menderu!

Read Full Post »

Mengenang Si Adik


Tiada apa. Sekadar mahu melahir rasa.

Selamat hari lahir buat Adik – Nik Azri atau Tuah Sujana (gambar atas: paling muda, sebelah kiri) yang ke-18, pada 8 November lalu.

Semoga semakin dewasa (sekalipun dirimu sudahpun matang daripada usia), dan teruskan berkarya!

*Gambar dicuplik daripada laman Mohd Dahri Zakaria.

Read Full Post »

Timbunan buku dan kertas memenuhi meja. Sebotol minyak Cap Kapak siaga berdiri di sisi. Pening dan sakit kepala sering benar bertamu. Itulah sahaja penawar sementara, sekalipun emak ada membekalkanku dengan untaian doa tulisan tangannya. Sesekali, aku buka lipatan doa yang ditulis di atas kertas putih bersih itu. Hangatnya kasih sayang emak.

Musim sesak begini (memandangkan minggu belajar atau study week), cembul kepala mula dihurung aneka fikiran, manca kenangan. Ada menyesakkan. Tak kurang juga yang mendamaikan. Sekarang ini, sewaktu sedang bergulat dengan buku-buku yang jenuh di hadapan mata, aku terimbas sesuatu. Sesuatu yang… erm, entah bagaimana mahu mentafsirkannya. Tetapi sesuatu itulah yang menjadi singgahan demi singgahan, hingga akhirnya aku berjaya tiba ke destinasi sekarang. Destinasi apa? Ya, sekaranglah. Destinasi sekarang.

(selanjutnya…)

Read Full Post »

Hanya Dia Seorang

Selamat Hari Lahir buat Ayah. Semoga dianugerahkan sihat tubuh dan jiwa, umur yang panjang, disirami iman dan dihujani takwa sepanjang musim kehidupan. Amin…”

Tepat jam 12.00 malam 25 Oktober, aku kirimi ayah pesanan ringkas itu. Sejak akhir-akhir ini, tampang emak dan ayah sering benar mewajah di benak. Lebih-lebih lagi kala menonton drama tv bertemakan kekeluargaan, khususnya tentang ayah (Emak tidak pernah dilupakan). ‘Kerana Dia Ayahku.’ Aku tonton drama ini pagi Jumaat lalu. Air mata berhamburan. Benarkah kerana aku perempuan, maka air mata menjadi teman setia? Betul? (Terpulang kepada persepsi masing-masing). Tetapi, butiran jernih yang mengalir di pipiku saat itu lantaran mengenangkan ayah (juga emak) di kampung. Rindu. Ya, rindu sering mengusap kalbu, dan aku menjadi beku dalam dakapan cinta dan rindu. Cinta dan rindu.

(selanjutnya…)

Read Full Post »

Aku budak perempuan. Budak? Atau perempuan sahaja? Perempuan. Aku budakperempuan yang kini kontang idea, miskin kata. Tengoklah aku sebagaiperempuan ini. Teratak ini sudah lama tidak dikemas, kian bersawang.Bersimpul-simpul selirat kian menyerabutkan! Ah, pening sendiri melihatnya!

Mahu bicara? Ya.

Apa?

Tak tahu.

Bukankah banyak isu?

Ya, terlalu banyak. Tetapi pusarannya hanya dalam dada. Namun yang seringterdengar adalah omelan emak dan getus marah hatinya; beruk-beruk itu makinkurang ajar! Sudahlah mencuri hasil tanaman orang kampung, merosakkan pulakebun-kebun. Habis pagar diranap-ranapkan dengan konco-konco yang diajakberpakat.

Aku sendiri sebagai perempuan ini turut terbongkah amarah. Bersangatan! Mahutumbuk muka beruk-beruk itu andai ada daya, mahu terajang, biar tunggingtertiarap. Biar mampus! Akan kuajak teman-teman dan orang kampung untukberjuang menentang beruk-beruk kurang ajar itu kala tiba saatnya kelak.Tunggulah beruk-beruk, akan kulumat-lumatkan pejal-pejal daging kalian, akankukikis bulu-bulu tebal itu daripada menghiasi badan kalian! Tunggulah…

Belum pun reda gelegak marahku yang perempuan ini. Tadi emak bercelotehlagi. ‘Lihat, beruk-beruk itu sudah mula buat pakatan mahu mencuri cermin-cermin dari rumah seluruh orang kampung, kemudian menyoroknya.’ Gila!Mahu diapakan cermin-cermin itu? Mahu menyuluh badan penuh bulu danmuka hodoh itu? Bodoh!

Meski aku perempuan, akan kuajar beruk-beruk itu suatu hari nanti. Biar merekatidak bisa mencuri lagi. Dan tidak akan menyorok lagi. Kalian perlu diajar!

Read Full Post »

Older Posts »